Monday, 22 August 2011

Karangan Contoh Naratif: Terlalu Penat !

   Aku sudah penat. Penat hidup dalam ketakutan dan kesakitan! Setiap hari itulah perasaan yang dialamiku. Pilihan untuk berkahwin bersama lelaki bernama Kamarul yang aku ingatkan akan membawaku ke alam kegembiraan dan syurga, hanyalah satu impian semata-mata. Aku kini bagaikan terperangkap dalam igauan buruk yang tiada noktahnya. Aku ingin sangat hendak terlepas dari semua ini.

   Aku sudah bersedia. Hari ini aku akan melakukannya. Aku tidak boleh takut. Aku harus memberanikan diri aku. Aku tiada pilihan lain. Aku tidak lagi mahu hidup dalam penderitaan begini dan bersubahat dalam dosa-dosa yang dilakukan oleh suamiku.

   Tiba-tiba loceng pintu berdering. Aku bergegas ke pintu untuk membukanya. Tanpa memberi salam, dia melangkah masuk ke dalam rumah. Tangan yang aku hulurkan untuk menyalamnya tidak disambut olehnya.

   ''Mana kopi aku?'' Jeritannya menggegarkan gegendang telingaku. Dengan cepat aku pun menuangkan air kopi ke dalam cangkir dan memberikan padanya. Itulah yang dibuatnya pada aku setiap hari selepas dia pulang dari pejabat. Kakinya diletakkan di atas meja dan begnya dicampakkan sahaja ke atas sofa yang berwarna coklat itu. Aku pula seperti babu yang bekerja secara percuma untuknya.

   ''Eh, engkau ni bodoh ke apa? Isteri apa engkau ni? Buat kopi pun tak tahu! Tawar!'' belum aku sempat mengambil semula cawannya untuk ditambahkan gula, air kopi yang panas itu telah pun disiramkan ke mukaku. Rambutku ditarik-tariknya. Sakit! Sakit, sakitlah! Aku bertalu-talu meminta maaf kepadanya. Sebenarnya aku tidak sepatutnya meminta maaf kerana dia seharusnya memahami aku sedang berpuasa Ramadhan. Tiada pun rasa belas kasihan terhadapku yang sedang menjalankan ibadah puasaku. Titisan airmata mengalir bagaikan air paip, di pipiku. Pipiku yang gebu itu dihinggapi sepakan yang tidak henti-henti. Hanya kerana air kopi yang tawar aku diedera seperti ini.

   ''Perempuan tidak berguna! Kononnya engkau puasa, jadi engkau boleh beri air kopi tawar ini? Kau hendak sindir aku ke apa? Kalau macam ini aku ceraikan kaulah! Aku ceraikan kau dengan talak satu! Perempuan tak berguna!'' Dengan muka yang bengis seperti singa kelaparan lalu dia melafazkan kata-kata tersebut.

   Aku terperanjat. Terpaku buat seketika. Akhirnya, permintaan yang selama ini aku minta akhirnya diberi kepadaku tanpa perlu aku melafazkan. Rasa lega bercampur aduk dengan kegembiraan berbunga di hatiku. Tidak lagi terasa sengatan di pipiku akibat tamparan yang bertalu-talu menghingapi pipiku. Aku mengangkat tangan tanda bersyukur kepada Ilahi kerana mengkabulkan doaku. Perkara yang aku ingin meminta pada suamiku, diberikan kepadaku tanpa aku memintanya. Terasa seperti perahu yang selama ini terikat di pokok telahpun dilepaskan dan aku sekarang bebas dari segala rasa sakit, hinaan, penderitaan, dan tangisan. Aku bebas dari syaitan yang bertopengkan manusia itu. Aku bebas dari Kamarul, suami yang hanya memberikan kegelapan dalam hidupku. Suami yang sedikit pun tidak berhati perut. Aku rasakan seperti seekor burung yang baru terlepas dari sangkarnya.



23082011

Oleh Siti Kamaryah Kaman
Sekolah Menengah Manjusri
















No comments:

Post a Comment