Juraian air mata membasahi pipi ibuku. Dia sangat kecewa akan perbuatan abangku yang semakin tidak bertanggungjawab. Abangku telah melarikan diri dari rumah sejak beberapa bulan yang lalu, meninggalkan aku dan ibuku untuk menyara hidup sendiri sejak kehilangan Ayah. Aku sudah tidak sanggup menadah tangan dan mengharapkan bantuan daripada saudara-mara serta jiranku.
Aku rindu akan masa lampau apabila keluargaku sering meluangkan masa bersama dan menjalinkan hubungan yang mesra. Sejak Ayah tiada, abangku tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran, malah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang kurang wajar bersama remaja-remaja nakal. Lama-kelamaan, dia dibuang sekolah kerana pelajarannya merosot. Dialah satu-satunya harapan Ibuku. Kini, tinggal aku bersendirian.
Kotak fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Hatiku bagaikan ditusuk sembilu. Di manakah Abang? Keadaan Ibuku yang semakin uzur membuat aku lebih gelisah. Aku menantikan kepulangan Abang.
Sinaran sang suria yang menampar pada dada bilikku membangunkan aku daripada tidur. Aku terdengar suara abangku di luar bilik tamu meminta ampun. Aku bergegas keluar dari bilikku hanya untuk melihat ibuku menangis gembira, dengan seorang lelaki yang sedang berdiri di tepinya.
No comments:
Post a Comment