Thursday, 25 August 2011

Karangan Fakta: Cara-cara menjadi jiran yang baik

   Warga Singapura tentu mempunyai jiran. Contohnya, di daerah Tampines, Bedok dan Aljunied. Di situlah tempatnya untuk memiliki rumah pangsa. Rumah pangsa itu tinggi dan bertingkat-tingkat. Maka itulah sebabnya kita hidup berjiran.
   
   Jiran itu penting. Kita pasti akan memerlukan pertolongan mereka suatu hari nanti. Demikian, menjadi jiran yang baik itu penting. Kita harus menjaga mulut kita apabila berhadapan dengan jiran sendiri. Contohnya, jiran A tidak boleh mengata tentang hal orang lain kepada jiran B ataupun mengatakan hal rumahtangga jiran B kepada orang luar. Mulut itu penting sekali. Ialah yang menentukan pandangan orang lain terhadap kita.


   Menjadi seorang jiran yang baik juga ada pelbagai cara. Hati kita harus ikhlas sebelum membuat baik. Dengan hati yang ikhlas, bolehlah digelar sebagai jiran yang baik. Senyuman juga penting. Apa gunanya mempunyai hati yang ikhlas sekiranya tidak mahu bersenyuman apabila terserempak? Pasti tiada makna.


   Lauk-pauk juga boleh dihantarkan ke rumah jiran sekiranya ada rezeki yang berlebihan. Ibu saya sering menghantarkan lauk yang baru dimasak ke rumah jiran kami, sebelah rumah. Kadang-kala, mangkuk kami akan dikembalikan dengan lauk yang dimasak oleh jiran kami. Memberi bukan tanda ingin dibalas tetapi ingin menjadi jiran yang baik. Malah, memberi itu lebih baik daripada meminta.


   Kalau sudah saling tinggal bersebelahan rumah, kita harus membantu antara satu-sama lain. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing. Pernah saya berada dalam kesusahan. Rumah saya terbakar kerana terlupa hendak menutup gas setelah air di dalam cerek sudah direbus. Jiran saya, Pakcik Mat telah mengetuk pintu rumah kami beberapa kali. Pada waktu itu, kami sekeluarga sedang lenyak bertidur. 


   Dia membau asap. Ayah saya menyedarkan diri lalu mengejutkan kami anak-beranak. Rupa-rupanya, sebahagian kecil dari dapur telah dijilat api. Saya membuka semua tingkap di dalam rumah dan akhirnya saya membuka pintu hadapan rumah. Kami sekeluarga bergegas ke luar kecuali Ayah. Ayah dan Pak Mat menjirus  air pada api dalam kemarahan itu. Ibu menelefon bomba. Api itu dengan pantas dipadamkan. Kami sungguh berterima kasih kepada Pakcik Mat.


   Pendek kata, berjiran itu banyak manfaatnya yang positif. Maka itulah, jadi seorang jiran yang baik dan hulurkan bantuan seadanya.



Oleh Nur Qamarinah Bte Yazit
Sekolah Menengah Manjusri


250811

Wednesday, 24 August 2011

Lisan: Kerja-Kerja Kemasyarakatan

Lisan: Keluarga

- Gambar ini menunjukkan sebuah keluarga yang ceria dan bersatu kerana terpaparnya wajah-wajah yang gembira serta senyuman yang indah. Jarang juga kita mendapati keluarga yang bersatu seperti mereka kerana semua orang tentu ada pekerjaan sendiri yang hendak dibuat. Maka itu, kuranglah masa mereka bersatu sebagai sebuah keluarga. Saya amat kagum dengan mereka kerana mereka dapat berinteraksi dan meluangkan masa bersama.


- Di bahagian kiri gambar terdapat seorang budak lelaki. Dia nampaknya ingin menyampaikan sesuatu. 
Dia ingin menyuarakan kepada keluarganya sesuatu tentang permainan di hadapan mereka.  


- Di sebelah budak adalah Ibunya. Nampaknya, Ibunya sedang menolong anaknya bermain permainan itu. Itulah kepentingan  sebuah keluarga kerana mereka juga yang akan menolong kita dalam keadaan yang susah. Bak kata peribahasa, bagai biduk lalu kiambang bertaut. Mereka jugalah orang yang pertama yang akan kita cari sekiranya berlaku sebuah masalah.


- Di sebelah Ibu kepada budak lelaki itu terdapat dua orang budak perempuan yang bersenyuman. Mereka adalah kakak-kakak kepada  budak lelaki itu. Mereka sedang menunggu giliran mereka untuk bermain permainan mini futsal itu. Mereka adalah seorang yang penyabar. Mempunyai sifat yang penyabar adalah penting dalam kehidupan seseorang kerana ini akan menjamin masa depan yang baik dari segi pelajaran dan disiplin seseorang itu. 


- Di sebelah mereka juga terdapat seorang lelaki. Lelaki itu adalah abang kepada budak-budak itu dan anak kepada Ibunya. Dia sedang bermain permainan itu kerana tiba gilirannya. Tanda senyuman yang diukir di bibirnya itu kelihatan seperti dia tidak takut akan tewas dalam permainan itu. Ini adalah sikap yang baik kerana kita sebaik-baiknya tidak sepatutnya mengambil aktiviti bersama keluarga yang dicintai  sebagai sesuatu hal yang serius. Maksud saya, kita harus bermain permainan itu bersama keluarga dengan seronok bukan dari segi persaingan.


- Seandainya keluarga ini adalah keluarga saya, saya akan menghargai mereka sepenuhnya. InsyaAllah... 


Oleh Nur Qamarinah Yazit
Sekolah Menengah Manjusri

Tuesday, 23 August 2011

Contoh Karangan Naratif : Abang

   Juraian air mata membasahi pipi ibuku. Dia sangat kecewa akan perbuatan abangku yang semakin tidak bertanggungjawab. Abangku telah melarikan diri dari rumah sejak beberapa bulan yang lalu, meninggalkan aku dan ibuku untuk menyara hidup sendiri sejak kehilangan Ayah. Aku sudah tidak sanggup menadah tangan dan mengharapkan bantuan daripada saudara-mara serta jiranku.

   Aku rindu akan masa lampau apabila keluargaku sering meluangkan masa bersama dan menjalinkan hubungan yang mesra. Sejak Ayah tiada, abangku tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran, malah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang kurang wajar bersama remaja-remaja nakal. Lama-kelamaan, dia dibuang sekolah kerana pelajarannya merosot. Dialah satu-satunya harapan Ibuku. Kini, tinggal aku bersendirian.

   Kotak fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Hatiku bagaikan ditusuk sembilu. Di manakah Abang? Keadaan Ibuku yang semakin uzur membuat aku lebih gelisah. Aku menantikan kepulangan Abang.

   Sinaran sang suria yang menampar pada dada bilikku membangunkan aku daripada tidur. Aku terdengar suara abangku di luar bilik tamu meminta ampun. Aku bergegas keluar dari bilikku hanya untuk melihat ibuku menangis gembira, dengan seorang lelaki yang sedang berdiri di tepinya. 

Karangan Naratif : Takdir Yang Menentukan

   Hujan yang turun bagai mutiara yang bertaburan di bumi seolah-olah memahami jiwaku yang dirantai kedukaan. Aku tidak berniat untuk melukai hatinya tetapi hanya boleh berpasrah kepada takdir. Kejadian ini telah berlaku setahun lalu. Masih aku menunggu saat dimaafkan.


   Dia bernama Murni. Kawan kerjaku. Betapa rindu aku padanya. Dahulu kami amat akrab bagai isi dengan kuku. Aku suka perwatakannya. Dia sungguh prihatin terhadap sesiapa yang disayanginya, terutama sekali keluarganya. Apabila mempunyai duit lebih, dia akan menderma ke masjid. Dia selalu menolong aku dalam kesusahan yang aku hadapi. Apa yang diberinya tidak akan diambil atau diminta balik.


   Suatu hari, sewaktu di pejabat, setelah penat menaip lintas pula di fikiranku untuk pergi mengambil air di bilik berehat. Pada waktu itu, aku dan Roni di pejabat. Sudah lewat malam tetapi kami belum pulang. Kerja yang diberikan sungguh banyak dan terpaksa dihabiskan segera.


   Roni merupakan sahabat Murni sejak dari kecil. Sungguh lama. Akhirnya, mereka bertemu semula dan bekerja di pejabat yang sama. Wah, sudah ditakdirkan berjumpa! Walaupun saling mengenali antara satu sama lain sejak dari kecil, mereka tidak terlalu rapat. Maklumlah, kawan-kawan yang rapat dengannya adalah kaum hawa. Termasuklah aku. Roni merupakan seorang lelaki yang amat handal dalam pelbagai masalah pejabat. Cergas sungguh otaknya.


   ''Roni, kau nak air tak?'' tanyaku kepada Roni tetapi tiada jawapan dibalas. ''Nak tak?'' nada suaraku yang sedang marah.''Eh,tak jawab jugak?'' kali ini asap seperti keluar dari telingaku. Aku pergi menjenguknya. Rupa-rupanya dia tidak ada di mejanya. Aku seperti kedengaran pintu pejabat dibuka. ''Oh, kau rupanya Murni !'' ekspresiku gembira tetapi hairan. ''Sebelum kau tanya, aku datang sini cuma nak ambil kerja aku yang belum habis,'' katanya tersenyum. ''Sementara kau di sini, nak minum tak? Aku ambilkan,'' tanyaku. ''Bolehlah.Terima kasih!'' balas murni.


   Aku pergi mengambil air. Semasa aku berjalan menuju ke bilik rehat, aku ternampak pintu belakang pejabat terbuka. ''Hmmm, pasti si Roni pergi menghisap rokok,'' aku berkata. ''Tak mengapalah,'' ujarku lagi.


   ''Ah!'' teriakku. Pisau ditikam ke dalam perut Roni. Badannya berlumuran darah.  Aku sungguh terperanjat. Aku berdiri kaku. Tidak tahu apa yang boleh aku katakan. Tiada perkataan yang dapatku binakan ayat untuk perasaanku ini. Aku berlutut. Aku memegang pisau itu dan cuba mengeluarkannya. Akhirnya, dapat juga aku berfikir. Siapa yang melakukan ini? Mengapa?


   ''Diana! Apa kau dah buat ni !'' teriak Murni tetapi menanya. ''T-ttt-tak, tak ! Aku tidak tahu siapa yang melakukan begini !'' kataku, panik. Dia telah salah faham tentang aku. ''Lepaskan pisau tu sekarang !'' teriak Murni lagi. Aku melepaskan pisau itu. Dia menelefon polis.

   Polis tidak menjumpai sebarang bukti yang aku telah menikam Roni. Bermakna aku tidak bersalahlah. Murni tidak dapat menerima hakikat itu, yang aku tidak bersalah kerana dia menyaksikan sendiri yang aku memegang pisau itu dan menyangkakan bahawa akulah yang menikam Roni.


   ''Tiada maaf bagimu, Diana !'' herdik Murni. Aku memang tidak berniat untuk melukai hatinya. Aku terima sahajalah kenyataannya walaupun aku tidak bersalah. Apa yang boleh aku lakukan kalau Murni sendiri tidak mahu mempercayai kata pihak polis. Sudahlah, walau bagaimanapun aku menyesal dengan diriku kerana tidak dapat membantu Roni. Kawan seperti apa aku ini.


   Mudah-mudahan, Tuhan akan mengampunkan aku dan membukakan hatinya, Murni, supaya dapat memaafkan aku. Amin.



23082011

Oleh Nur Qamarinah Yazit  
Sekolah Menengah Manjusri  

Monday, 22 August 2011

Karangan Contoh Naratif: Terlalu Penat !

   Aku sudah penat. Penat hidup dalam ketakutan dan kesakitan! Setiap hari itulah perasaan yang dialamiku. Pilihan untuk berkahwin bersama lelaki bernama Kamarul yang aku ingatkan akan membawaku ke alam kegembiraan dan syurga, hanyalah satu impian semata-mata. Aku kini bagaikan terperangkap dalam igauan buruk yang tiada noktahnya. Aku ingin sangat hendak terlepas dari semua ini.

   Aku sudah bersedia. Hari ini aku akan melakukannya. Aku tidak boleh takut. Aku harus memberanikan diri aku. Aku tiada pilihan lain. Aku tidak lagi mahu hidup dalam penderitaan begini dan bersubahat dalam dosa-dosa yang dilakukan oleh suamiku.

   Tiba-tiba loceng pintu berdering. Aku bergegas ke pintu untuk membukanya. Tanpa memberi salam, dia melangkah masuk ke dalam rumah. Tangan yang aku hulurkan untuk menyalamnya tidak disambut olehnya.

   ''Mana kopi aku?'' Jeritannya menggegarkan gegendang telingaku. Dengan cepat aku pun menuangkan air kopi ke dalam cangkir dan memberikan padanya. Itulah yang dibuatnya pada aku setiap hari selepas dia pulang dari pejabat. Kakinya diletakkan di atas meja dan begnya dicampakkan sahaja ke atas sofa yang berwarna coklat itu. Aku pula seperti babu yang bekerja secara percuma untuknya.

   ''Eh, engkau ni bodoh ke apa? Isteri apa engkau ni? Buat kopi pun tak tahu! Tawar!'' belum aku sempat mengambil semula cawannya untuk ditambahkan gula, air kopi yang panas itu telah pun disiramkan ke mukaku. Rambutku ditarik-tariknya. Sakit! Sakit, sakitlah! Aku bertalu-talu meminta maaf kepadanya. Sebenarnya aku tidak sepatutnya meminta maaf kerana dia seharusnya memahami aku sedang berpuasa Ramadhan. Tiada pun rasa belas kasihan terhadapku yang sedang menjalankan ibadah puasaku. Titisan airmata mengalir bagaikan air paip, di pipiku. Pipiku yang gebu itu dihinggapi sepakan yang tidak henti-henti. Hanya kerana air kopi yang tawar aku diedera seperti ini.

   ''Perempuan tidak berguna! Kononnya engkau puasa, jadi engkau boleh beri air kopi tawar ini? Kau hendak sindir aku ke apa? Kalau macam ini aku ceraikan kaulah! Aku ceraikan kau dengan talak satu! Perempuan tak berguna!'' Dengan muka yang bengis seperti singa kelaparan lalu dia melafazkan kata-kata tersebut.

   Aku terperanjat. Terpaku buat seketika. Akhirnya, permintaan yang selama ini aku minta akhirnya diberi kepadaku tanpa perlu aku melafazkan. Rasa lega bercampur aduk dengan kegembiraan berbunga di hatiku. Tidak lagi terasa sengatan di pipiku akibat tamparan yang bertalu-talu menghingapi pipiku. Aku mengangkat tangan tanda bersyukur kepada Ilahi kerana mengkabulkan doaku. Perkara yang aku ingin meminta pada suamiku, diberikan kepadaku tanpa aku memintanya. Terasa seperti perahu yang selama ini terikat di pokok telahpun dilepaskan dan aku sekarang bebas dari segala rasa sakit, hinaan, penderitaan, dan tangisan. Aku bebas dari syaitan yang bertopengkan manusia itu. Aku bebas dari Kamarul, suami yang hanya memberikan kegelapan dalam hidupku. Suami yang sedikit pun tidak berhati perut. Aku rasakan seperti seekor burung yang baru terlepas dari sangkarnya.



23082011

Oleh Siti Kamaryah Kaman
Sekolah Menengah Manjusri
















KARANGAN CONTOH FAKTA/EKSPOSITORI: Persediaan Menghadapi Peperiksaan

     Semua manusia yang dilahirkan ke dunia ini ingin menikmati kehidupan yang sejahtera dan berjaya. Begitu juga dengan nasib dan masa depan pelajar yang terpaksa berhadapan dengan peperiksaan untuk menentukan nasib seterusnya. Kejayaan seseorang pelajar dalam mengharungi hari-hari peperiksaan bergantung pada persediaan yang dilakukan. Persedian yang lengkap, terancang, dan tersusun akan membuahkan hasil yang lumayan.


     Setiap pelajar perlu sedar akan kepentingan pelajaran. Falsafah berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian merupakan gambaran terbaik untuk dijadikan contoh. Oleh itu, ketika melalui saat genting seperti peperiksaan, mereka perlu membuat persediaan agar mereka tidak akan kecewa apabila mendapat keputusan.


     Ulang kaji merupakan perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar setiap hari supaya dapat menyediakan diri mereka dengan pelbagai kemungkinan. Pelajar juga perlu menumpukan perhatian yang lebih serius ketika belajar dan sentiasa bersedia. Mereka juga perlu mengikiskan sikap malu bertanya kepada guru atau rakan sekiranya mereka mempunyai masalah dalam pelajaran.


     Pelajar perlu bijak ketika menghadapi peperiksaan kerana sebarang kesilapan yang dilakukan akan menyebabkan pelajar kecewa. Pelajar yang akan mendapat kejayaan ialah pelajar yang mempunyai perancangan dan strategi yang betul. 


      Kesungguhan pelajar dalam menuntut ilmu perlulah berterusan dan tidak seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja supaya dapat menguatkan daya ingatan dan meningkatkan kecekapan mereka dalam pelajaran.


     Tanggungjawab sebagai pelajar bukan hanya belajar sebaliknya menyediakan diri untuk menjadi manusia yang berguna dan dihormati. Hal ini kerana merekalah bakal pemimpin negara pada masa hadapan. Setiap pelajar perlu sedar bahawa persediaan menghadapi peperiksaan perlu dilakukan kerana hanya orang yang belajar secara berterusan akan beroleh kejayaan. 




22.08.2011